Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business

KELAB ALUMNI MBA DISARAN SUMBANG KEPAKARAN DEMI PEMBANGUNAN OYAGSB DAN UUM

image005 1

 

UUM ONLINE: Alor Setar - Ahli Kelab Alumni MBA UUM disarankan untuk bersama-sama menyumbang kepakaran dalam usaha mengekalkan dan meningkatkan reputasi Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) khususnya di peringkat nasional dan antarabangsa.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Noor Azizi Ismail berkata, alumni MBA boleh menyumbang idea, kepakaran dan ilmu kepimpinan masing-masing demi membangunkan pemimpin perniagaan masa depan (future business leaders).

Katanya, kepakaran tersebut merangkumi pelbagai kemahiran seperti soft and hard skills serta kecekapan untuk menangani persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah.

"Sehingga tahun 2015, UUM telah melahirkan seramai 5,328 orang graduan program MBA dalam pelbagai bidang pengkhususan iaitu perakaunan, kewangan, pengurusan projek, pengurusan rantaian bekalan serta pengurusan pelancongan dan hospitaliti.

"Pencapaian alumni OYAGSB dalam menjayakan misi nasional semakin terserlah apabila sebahagian alumni terlibat dengan sektor korporat, menjawat jawatan penting dalam sektor kerajaan termasuk menjadi tokoh politik, di samping menjadi usahawan yang berjaya," ujar beliau pada Majlis Hi-Tea Alumni MBA di TH Hotel and Convention, semalam.

Program MBA di UUM mula ditawarkan pada tahun 1995 dengan pengambilan seramai enam orang pelajar yang mana kumpulan pertama pelajar-pelajar MBA tersebut telah menamatkan pengajian mereka pada tahun 1997.

Majlis Hi-Tea Alumni MBA yang julung kali diadakan ini telah berjaya menghubungkan semula OYAGSB dengan alumninya seramai 40 orang yang datang dari Kedah, Perlis, Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan Kuala Lumpur.

Pada majlis itu juga, Prof Dr Noor Azizi turut melancarkan Kelab Alumni MBA dan menyerahkan surat pelantikan jawatankuasa sementara Kelab Alumni MBA yang diketuai oleh Abdul Ghafur Hanafi.

Hadir sama Dekan OYAGSB, Prof Dr Zeljko Sevic dan pegawai-pegawai OYAGSB.

OYAGSB KUALA LUMPUR
Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB)
Universiti Utara Malaysia (Kampus Kuala Lumpur)
27-1B Tingkat 1, Wisma Sri Muda (UUMKL Menara 2)
Jalan Raja Muda Abd Aziz, Kampung Baru
50300 Kuala Lumpur Malaysia
TEL: +604-928 7192/7194