Prof.Norazah muncul pemegang Scopus H-Index dan sitasi Scopus Tertinggi

PROF. NORAZAH MUNCUL PEMEGANG SCOPUS H-INDEX DAN SITASI SCOPUS TERTINGGI

image004

UUM ONLINE:Lt. Kolonel (PA) Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki muncul sebagai Pemegang SCOPUS H-Index tertinggi dan sitasi SCOPUS tertinggi di UUM.
Keputusan pencapaian ini boleh diakses di database SCOPUS. SCOPUS merupakan pangkalan data yang merekod abstrak dan sitasi suatu artikel yang berkualiti tinggi. SCOPUS menjana hasil carian kutipan yang tepat dan profil institusi penyelidikan dan penulis yang dikemas kini secara automatik.
Selain melindungi integriti rekod ilmiah, pangkalan data SCOPUS membantu meningkatkan prestasi dan reputasi penyelidikan institusi, dan para penyelidik secara global. SCOPUS menyediakan platform dan alat analisis untuk mempamerkan dan memanfaatkan penyelidikan dengan cepat.
Kekuatan penerbitan beliau telah mencapai tahap membanggakan yang membantu UUM dalam meningkatkan reputasi antarabangsanya.
“Usaha secara berterusan terhadap penghasilan penyelidikan dan penerbitan yang berkualiti membawa kejayaan yang berlipat ganda.
“Penyelidikan dan penerbitan saling berkait rapat, buat yang terbaik untuk terbitkan artikel, banyak membaca, review recent literature, use establish journal seperti Elsevier dan SCOPUS,” pesannya.
Ujarnya, dalam menghasilkan penyelidikan memerlukan usaha, tenaga, kemahiran, pemikiran kritikal dan kepimpinan.
“Kita kena extraordinary, hasilkan research yang berkait dengan pihak industri agar terus relevan,” katanya.
Profesor Pemasaran dan E-Niaga di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) melahirkan kesyukuran dan teruja dengan kejayaan yang diimpikan selama ini.
“Ini merupakan satu pengiktirafan kepada UUM yang memberi impak dari segi ranking Universiti di peringkat dunia.
“Saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Naib Canselor UUM, OYAGSB dan semua pihak yang telah memberi sokongan. Saya akan terus menjalankan amanah dengan sebaik mungkin menerusi penyelidikan dan penerbitan yang berkualiti,” ujarnya.
Dengan pengiktirafan ini beliau menjadi penyelidik terbilang melalui hasil penyelidikannya yang cemerlang dan menjadi sumber rujukan penyelidik di peringkat global melalui penerbitan berkualiti di Elsevier.
Kini, beliau mempunyai 18 SCOPUS  h-indeks dengan 958 total sitasi di peringkat global terutamanya dalam bidang Perniagaan dan Pengurusan, menandakan beliau mempunyai kerja penyelidikan yang berkualiti tinggi.
Beberapa artikel ilmiahnya juga diterbitkan dalam Journal of Cleaner Production (Faktor Impak: 6.395).
Beliau telah menulis lebih daripada 300 kertas kerja dalam jurnal, bab dalam buku, buku, dan kertas persidangan. Namanya terukir di arena akademik tempatan dan antarabangsa.
Antaranya sebagai penerima Malaysia's Research Star Award, Highly Commended Paper in the 2017 Emerald Literati Network Awards for Excellence, Highly Commended Paper in the 2015 Emerald Literati Network Awards for Excellence, and the IGI Global’s Seventh Annual Excellence in Research Journal Award.

 

Print