ALUMNI TONGGAK KEKUATAN TENTUKAN REPUTASI OYAGSB

UUM ONLINE: Alumni Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) memainkan peranan penting dalam menentukan reputasi sekolah perniagaan pasca siswazah tersebut.

Pengerusi LPU, Dato' Dr. Sudin Harun berkata, alumni adalah antara bahagian penting dalam mana-mana universiti terutamanya untuk sekolah perniagaan ini kerana alumni memainkan peranan utama dalam inovasi dan mewujudkan kekayaan dalam masyarakat.

Menurutnya, alumni juga menjadi sumber sokongan dan inspirasi untuk universiti. Dengan kekuatan alumni lebih 6,000, OYAGSB bersedia untuk membentuk pangkalan sokongan yang kukuh bagi membangun dan memposisikan dirinya sebagai sekolah perniagaan utama.

"Terdapat pelbagai cara yang membolehkan alumni OYAGSB untuk menyumbang kepada sekolah siswazah ini dan seterusnya alma mater iaitu UUM dalam menjayakan visi dan misi, terutamanya peranan alumni dalam membantu meningkatkan dana dan sumbangan OYAGSB khususnya.

"Saya berharap semua alumni dapat mempertimbangkan untuk terus berhubung dengan alma mater dan bersama-sama membantu dalam menjadikan OYAGSB sebagai sekolah perniagaan yang lebih kuat di UUM," katanya pada OYAGSB Alumni Gala Dinner 2019, baru-baru ini.

Sementara itu, Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Shahizan Hassan berkata, peranan alumni adalah penting dalam menentukan kemampanan dan reputasi OYAGSB dan UUM.

Secara peribadi, menurutnya, beliau percaya bahawa alumni boleh memainkan peranan mereka dan menyumbang semula kepada sekolah perniagaan ini dalam pelbagai cara.

"Pertama, alumni boleh menjadi model dan memainkan peranan dalam memberi inspirasi kepada pelajar. Kedua, mereka boleh menjadi mentor kerjaya untuk pelajar, graduan baru dan juga alumni muda. Ketiga,berkongsi pengetahuan dan kepakaran untuk meningkatkan kurikulum universiti atau membantu universiti untuk membangunkan program akademik baru.

"Selain itu, alumni boleh membuka pintu kepada universiti untuk melibatkan diri dengan rangkaian industri dalam pelbagai bidang yang meliputi penyelidikan dan penerbitan kerjasama, perundingan dan pembinaan kapasiti. Kelima, alumni dapat membantu meningkatkan pengambilan pelajar universiti. Keenam, alumni juga boleh membantu universiti dalam mengumpulkan dana dan endowmen untuk pelbagai tujuan.

"Di samping itu, alumni juga boleh membantu untuk meningkatkan reputasi universiti melalui media elektronik atau cetak menyediakan sokongan yang besar untuk reputasi universiti," katanya.

OYAGSB Gala Dinner adalah julung kali diadakan sejak penubuhan pada 2011 bertujuan menzahirkan penghargaan kepada alumni OYAGSB, selain membantu menghasilkan aktiviti pelajar bersama alumni yang berimpak tinggi.

Hadir sama Dekan Pertama OYAGSB, Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi Ismail yang kini merupakan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

 

Print