PROF. TS. DR. NORAZAH KONGSI TIPS PENERBITAN ARTIKEL JURNAL Q1

image002

UUM ONLINE: Memiliki track record penerbitan yang cemerlang, Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki telah berkongsi tips dan teknik yang berkesan dalam menghasilkan artikel jurnal Q1 pada Bengkel Penerbitan Artikel Jurnal Q1 di Bilik Kuliah 6 OYAGSB, baru-baru ini.

Beliau yang merupakan Profesor Marketing & E-Commerce di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) berkata, penerbitan artikel dalam jurnal berimpak tinggi merupakan satu indikator penting kepada ahli akademik.

Menurutnya, penghasilan artikel dalam jurnal Q1 dilihat sebagai satu kejayaan besar bagi menyebarluas hasil penyelidikan yang dilakukan.

Prof. Ts. Dr. Norazah telah menghasilkan lebih 300 kertas kerja dalam jurnal yang dirujuk, bab di dalam buku, buku dan kertas persidangan, selain menjadi penyelidik teratas yang mencatatkan SCOPUS h-indeks tertinggi di UUM iaitu 19 SCOPUS h-indeks dengan 1081 total sitasi di peringkat global.

Beliau juga adalah penerima Malaysia's Research Star Award 2018 dan terpilih menjadi penerima tunggal dari UUM untuk menerima geran penyelidikan di bawah Skim Geran Penyelidikan Fundamental - Malaysia’s Research Star Award (FRGS-MRSA) 2018.

Sementara itu, peserta bengkel, Prof. Madya Sr. Dr. Mohd Nasrun Mohd Nawi berkata, bengkel tersebut adalah satu platform terbaik bagi pensyarah meningkatkan kualiti penerbitan serta profil penyelidikan yang mantap.

“Ilmu dan tunjuk ajar yang diperolehi membenarkan peserta untuk berkongsi maklumat yang disampaikan oleh penceramah kepada rakan sejawat lain dalam meningkatkan jumlah sitasi dan h-index seperti yang disarankan Naib Canselor.

“Selain itu, bengkel ini turut membantu golongan pensyarah untuk menerima ilmu dan tunjuk ajar yang spesifik dalam melakukan penambahbaikan terhadap artikel jurnal yang ingin dihantar untuk tujuan penerbitan,” katanya.

Bengkel anjuran Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) itu telah disertai 20 pensyarah UUM.

Print