UUM PILIHAN PEGAWAI ANGKASA SAMBUNG PENGAJIAN DALAM PROGRAM MBA DI OYAGSB

pegawai angkasa

UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus menjadi pilihan pegawai berkerjaya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, tidak terkecuali staf dari Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang telah mendaftar sebagai pelajar baharu bagi Program Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di bawah kendalian Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB).

Seramai 17 pegawai dari pelbagai unit di bawah ANGKASA telah dibiayai sepenuhnya oleh ANGKASA dan menjadi kumpulan ketiga selepas 40 pegawai ANGKASA berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya dalam dua kumpulan sebelum ini pada 2016 dan 2019.

Naib Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik berkata, kursus yang ditawarkan oleh OYAGSB telah menarik minat ANGKASA untuk menghantar pegawai melanjutkan pengajian di UUM kerana ia dapat memberi tambah nilai kepada semua pegawai yang terlibat.

Menurutnya, program ini dilihat mampu memberi impak yang sangat positif dalam meningkatkan kerjaya semua pegawai dan mampu memberi inovasi dan penambahbaikan kepada output organisasi.

“Peluang seperti ini tidak akan datang bergolek dan pegawai terlibat perlu menghargai sebaiknya kerana anda semua dapat menimba ilmu di tempat yang sama anda bekerja dengan pembiayaan penuh oleh syarikat.

“Saya juga berharap kerjasama ini dapat diteruskan untuk kumpulan seterusnya dan membuka peluang kepada lebih ramai pegawai bukan sahaja dalam kalangan staf ANGKASA tetapi juga organisasi setempat agar dapat memperolehi ijazah sarjana sambil bekerja,” katanya pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pengajian, baru-baru ini.

Sementara itu, Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Shahizan Hassan mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelajar baharu yang sanggup menyahut cabaran demi menggenggam segulung ijazah walaupun sibuk dengan kerja dan keluarga masing-masing.

“Perjalanan ini sudah tentunya bukan mudah, namun ianya sangat berbaloi,” katanya.

Program bagi kumpulan ini akan lebih menarik dengan pelaksanaan pembelajaran secara atas talian (online learning) menggunakan sistem WEBEX yang telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Yusnidah Ibrahim pada Januari lalu.

Sistem ini memberi peluang kepada semua pelajar untuk mengikuti sesi pengajaran secara maya tanpa perlu berada secara fizikal di dalam kelas. 

 

Print