TUGAS AKADEMIK TIDAK HALANG BANTU KEKANG COVID-19

TUGAS AKADEMIK TIDAK HALANG BANTU KEKANG COVID 19

UUM ONLINE: Di saat frontliners negara berjuang untuk memutuskan rantaian Covid-19, UUM juga tidak duduk diam apabila Timbalan Dekan di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Lt. Kol. (PA) Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki yang merupakan Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut bersama-sama membantu dalam usaha tersebut.

Prof. Ts. Dr. Norazah yang merupakan Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) OYAGSB berkata, beliau berbesar hati apabila dipanggil bertugas di Home Surveillance Center (HSC) Negeri Kedah bersama Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri APM Negeri Kedah di Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Jitra.

“Saya menerima tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan ini dan akan melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.

“Usaha untuk mengekang penularan wabak di Negeri Kedah membabitkan individu yang positif Covid-19 dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, manakala individu negatif atau dikenali sebagai 'person under surveillance' (PUS) ditempatkan di beberapa stesen kuarantin Negeri Kedah,” katanya yang turut dibantu oleh pensyarah SCIMPA, Prof. Madya Ts. Dr. Norbayah Mohd Suki.

Beliau berkata, tugasnya adalah menyelaraskan pengurusan agensi terlibat di Stesen Kuarantin Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Jitra dalam tempoh kuat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, proses pengurusan individu yang dikuarantin mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Selepas pendaftaran rekod oleh petugas KKM yang berpakaian pakaian perlindungan peribadi (PPE), PUS dilengkapkan dengan Welcome Kit yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan hanya seorang PUS sahaja bagi setiap bilik di stesen kuarantin tersebut dan tidak berkongsi.

“Petugas APM yang berpakaian PPE akan menghantar makanan yang diuruskan oleh JKM di hadapan bilik PUS tiga kali sehari mengikut jadual. Mereka akan mengetuk pintu PUS sebagai tanda makanan telah pun sampai. Lima minit selepas itu, baru PUS akan mengambilnya,” katanya.

Prof. Ts. Dr. Norazah berkata, sepanjang tempoh tersebut, PUS akan mendapat dua set pakaian hospital untuk digunakan setiap hari.

Menurutnya, pakaian hospital harian ini serta bekas makanan yang dianggap sebagai sisa klinikal perlu diletakkan dalam plastik kuning yang disediakan dan akan dikutip oleh petugas klinikal keesokan harinya bagi memastikan kebersihan PUS sentiasa dijaga..

“PKP 3 yang berkuatkuasa dari 15 hingga 28 April ini merupakan tempoh penting untuk menamatkan penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

Print