MEMORI SYAWAL: AKUR ARAHAN PKPB, TIDAK PULANG BERAYA DI KAMPUNG HALAMAN

MEMORI SYAWAL AKUR ARAHAN PKPB TIDAK PULANG BERAYA DI KAMPUNG HALAMAN

UUM ONLINE: Bagi memastikan ahli keluarga di kampung halaman terhindar dari penularan wabak Covid-19, warga kampus UUM akur dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan bersyarat (PKPB) yang tidak membenarkan rentas negeri bagi tujuan menyambut Aidilfitri.

Timbalan Dekan di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Lt. Kol. (PA) Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki reda dengan ketentuan Ilahi dan terbuka menerima apa jua keputusan yang dibuat kerajaan dalam usaha memutuskan rangkaian wabak Covid-19.

Menurutnya, sambutan raya tahun ini menjadikan rakyat Malaysia lebih berdisiplin dengan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan demi kesihatan dan keselamatan bersama.

Katanya, penularan wabak tersebut telah menghalangnya untuk pulang ke kampung halaman beraya bersama keluarga meskipun sedih tetapi dia tetap patuh dengan arahan kerajaan dan universiti.

“Sejak penularan Covid-19, banyak norma baharu yang perlu diikuti seperti sentiasa memakai pelitup muka dan menggunakan ‘hand sanitizer’, malah kini saya juga membeli kuih raya melalui online sahaja kerana rakyat di negara ini dinasihatkan untuk duduk di rumah dan kurangkan aktiviti menziarahi pada hari raya.

“Hanya raya pertama sahaja dibenarkan untuk mengunjungi keluarga terdekat, namun masih perlu amalkan penjarakkan sosial yang dicadangkan oleh kerajaan seperti mengelakkan perhimpunan beramai-ramai dan tiada sesi bersalaman dengan ahli keluarga,” katanya yang juga Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Prof. Ts. Dr. Norazah berkata, hari raya tidak disambut sepi walaupun tidak bersama keluarga tercinta kerana teknologi kini telah menghubungan semua orang hanya di hujung jari sahaja dengan adanya aplikasi WhatsApp, Webex atau Zoom yang membolehkan setiap orang berkomunikasi.

Di kesempatan ini, beliau sekeluarga mengucapkan Salam Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga UUM.

Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Komunikasi, Nurul Sahadar Che Nuh mengakui sambutan raya tahun ini agak berbeza dalam suasana norma baharu yang harus dipatuhi.

Berasal dari Kelantan, Nurul Sahadar berkata, Aidilfitri di era PKP banyak mengajarnya erti sebenar menyambut hari raya iaitu dengan lebih kesyukuran, rendah diri dan membesarkan Allah dengan harapan amalan di sepanjang Ramadan akan diterima-Nya.

Print