TERIMA KEPERCAYAAN UNIVERSITI UNTUK PIKUL TANGGUNGJAWAB

TERIMA KEPERCAYAAN UNIVERSITI UNTUK PIKUL TANGGUNGJAWAB

UUM ONLINE: Memegang jawatan utama universiti merupakan satu tanggungjawab besar yang harus dipikul bagi memastikan setiap agenda universiti dapat dilaksanakan dengan jayanya, apatah lagi UUM bakal menginjak ke Pelan Strategik Fasa 3 tidak lama lagi.

Mulai 1 Julai ini, dua penjawat utama baharu akan menggalas amanah tersebut dengan menerajui Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) dan Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC).

Timbalan Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar berkata, beliau sudah bersedia dari aspek fizikal dan mental untuk menyahut cabaran Naib Canselor untuk menjadikan OYAGSB sebagai satu-satunya sekolah perniagaan di Malaysia.

Menurutnya, beliau percaya OYAGSB boleh menjadi Top 100 di dunia dalam masa lima tahun akan datang dan beliau akan pastikan hasrat tersebut boleh dilaksanakan.

"Sejak penubuhan OYAGSB lagi tujuannya adalah untuk menjadi sekolah perniagaan utama di Malaysia dan buat masa ini, UUM merupakan antara dua universiti di Malaysia selain Universiti Malaya yang mempunyai akreditasi Double Crown iaitu AACSB dan AMBA.

"Untuk misi seterusnya adalah untuk melengkapkan agenda Triple Crown. Apabila kita berjaya memperolehniya, OYAGSB akan bertapak sebagai sekolah perniagaan utama di Asia Tenggara menjelang 2023, diikuti pada 2025 pula membolehkan OYAGSB diiktiraf sebagai salah satu daripada Top 100 World Business Schools," katanya yang akan menggantikan Prof. Dr. Shahizan Hassan.

Sementara itu, Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Shahizan berkata, beliau meletakkan harapan penjawat yang baharu dilantik dapat meneruskan usaha-usaha sedia ada dan Dekan terdahulu.

Menurutnya, mereka telah lakukan yang terbaik untuk meletakkan OYAGSB di landasan yang betul bagi mencapai visi dan misi OYAGSB sebagai Sekolah Perniagaan Terbaik di Malaysia dan Asia Tenggara.

"Saya harap bakal Dekan baharu ini akan ada visi yang sehaluan dengan universiti agar apa yang dihajati akan tercapai.

"Selain itu, beliau juga harus bergerak seiring dengan kemampuan sedia ada dan berusaha untuk memastikan semua staf akademik dan pentadbiran bersama-sama memahami visi OYAGSB untuk memikul tanggungjawab agar misi tersebut tercapai," katanya.

Timbalan Pengarah CUIC, Dr. Shahrina Othman berkata, beliau amat bersyukur kerana diberikan kepercayaan oleh pihak universiti untuk memegang jawatan sebagai Pengarah di CUIC.

Menurutnya, pada masa sama beliau berbesar hati untuk menyahut cabaran itu dan memikirkan langkah seterusnya untuk memajukan CUIC dalam situasi yang dilalui sekarang untuk norma seterusnya.

"Yang penting, adalah hubungan dengan industri yang harus ditingkatkan lagi dan perlu dilihat dari pelbagai aspek, justeru saya tidak sabar untuk berjumpa semula rakan industri agar pelan yang dirancang CUIC dapat dilaksanakan.

"Setiap tahun CUIC telah menetapkan hala tuju tersendiri dan saya akan pastikan ia akan diteruskan serta melakukan sedikit penambahbaikan mengikut situasi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ekoran Covid-19," katanya yang akan menggantikan Prof. Madya Dr. Marlin Marissa Malek.

Sementara itu, Dr. Marlin berkata, Dr. Shahrina bukan seorang pengganti, sebaliknya akan meneruskan kerja yang telah dilakukan beliau sebelum ini.

Menurutnya, beliau percaya dengan kebolehan yang terdapat pada Dr. Shahrina untuk mengemudi CUIC pada masa hadapan untuk melaksanakan semua agenda yang telah dirancang.

Katanya, warga CUIC sentiasa bekerja keras, tidak mengambil sesuatu perkara dengan mudah, meletakkan harapan tinggi pada setiap pekerjaan yang dilakukan serta tidak saling bersaing sebaliknya 'menolak' diri untuk menjadi lebih baik.

 

Print