DEKAN BAHARU BAKAL PACU KEJAYAAN OYAGSB SEBAGAI TOP BUSINESS SCHOOL

DEKAN BAHARU 2020

UUM ONLINE: Pada 1 Julai lalu, Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) telah menerima Dekan baharu, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar yang menggantikan Prof. Dr. Shahizan Hassan.

Majlis penyerahan nota serah tugas telah diadakan di Studio OYAGSB yang turut dihadiri semua Resident Faculty dan staf pentadbiran sekolah perniagaan tersebut.

Prof. Dr. Hassan berkata, beliau berterima kasih kepada Prof. Dr. Shahizan di atas sumbangan yang telah dilakukan dalam memajukan OYAGSB sehingga ke tahap sekarang.

“Saya juga amat mengalu-alukan idea dan input daripada beliau agar dapat membantu untuk meneruskan kecemerlangan OYAGSB merealisasikan hasrat menjadi Top Business School.

“Salah satu usaha yang dilakukan oleh Prof. Shahizan di sini ialah membawa semangat kerjasama dalam kalangan Resident Faculty yang mana merupakan salah satu kekuatan OYAGSB untuk melaksanakan sesuatu agenda yang telah ditetapkan,” katanya yang merupakan Resident Faculty OYAGSB sejak Mac 2017.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Institute for Leadership, Innovation and Change (iLead4Change) pada 2018 dan 2019 serta sebagai Timbalan Dekan (Research, Innovation & Knowledge Transfer) sehingga 30 Jun lalu di OYAGSB.

Sementara itu, mantan Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Shahizan mengucapkan terima kasih kepada semua staf OYAGSB terdiri daripada pihak pengurusan, Resident Faculty dan staf pentadbiran di atas kerjasama dan sokongan kepada beliau selama ini.

“OYAGSB is the best team sepanjang saya bekerja di UUM,” katanya yang memulakan tugas di OYAGSB sejak 2012.

Sepanjang menjadi Resident Faculty OYAGSB, beliau juga pernah dilantik sebagai Penyelaras Program PhD pada November 2012 dan Timbalan Dekan (Research, Innovation & Knowledge Transfer) pada 2015.

Pada majlis sama turut diadakan slot Jasamu Dikenang sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada Prof. Dr. Shahizan yang telah berkhidmat sebagai Dekan OYAGSB bermula 10 September 2018 sehingga 30 Jun 2020.

Print