TERUS BERI KHIDMAT BAKTI TANPA TUNGGU KENAIKAN PANGKAT

TERUS BERI KHIDMAT BAKTI TANPA TUNGGU KENAIKAN PANGKAT

UUM ONLINE: “Hidup mesti ada integriti, maruah dan keberanian untuk menyatakan kebenaran ('intellectual bravery’), selain gembira dengan apa yang kita lakukan dan menjiwai perjuangan sebagai akademia,” kata Prof. Dr. Rosna Awang Hashim dari Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden (SEML).

Menurutnya, apa yang berlaku sama ada menerima kenaikan pangkat atau tidak, semuanya atas kehendak Allah dan yang pasti ada hikmah kerana beliau percaya Allah sebaik-baik perancang.

Beliau berkata demikian selepas menerima kenaikan pangkat Profesor (VK6) pada Penyampaian Watikah Kenaikan Pangkat Staf Akademik di Bilik Mesyuarat Senat, baru-baru ini.

Prof. Dr. Rosna berkata, beliau bersyukur kerana menerima watikah kenaikan pangkat yang disifatkan sebagai satu pengiktirafan kepada profesor dan ahli akademik yang menjadi satu hadiah istimewa setelah 31 tahun menabur bakti bersama UUM.

“Sebagai ahli akademik, kita tidak perlu tunggu kenaikan pangkat sebaliknya berterusan memberi khidmat bakti tanpa syarat dan yang penting bagaimana kehadiran profesor dirasai serta boleh memberi manfaat bukan sahaja kepada UUM tetapi juga kepada komuniti dan seluruh warga global,” katanya.

Tambahnya, beliau masih mempunyai 4 tahun lagi untuk bersama UUM, justeru beliau sedia untuk berbakti kepada masyarakat demi memajukan agama, bangsa dan negara. 

Sementara itu, Prof. Dr. Mohd Zaini Abd Karim dari Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) merakamkan ucapan penghargaan kepada UUM di atas kenaikan pangkat sebagai Profesor Gred VK6.

Menurutnya, dengan kenaikan pangkat itu diharapkan dapat menambah semangat rakan-rakan staf akademik dan pentadbiran dalam menjalankan tugas serta memberi sumbangan untuk terus membangunkan UUM.

Katanya, beliau bertekad untuk menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, sentiasa meningkatkan usaha, prestasi, penyelidikan serta memberikan hasil kerja terbaik.

Bagi Pengarah Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, penerimaan watikah ini juga satu pengiktirafan kepada warga akademik yang banyak menyumbang kepada pengembangan ilmu sekali gus membantu staf untuk terus cemerlang dan menjadikan UUM lebih ‘visible’.

“Untuk merealisasikan hasrat itu, kita harus fokus kepada pengajian atas talian dan menekankan aspek keusahawanan sebagai salah satu sumber kerjaya pada masa hadapan.

“Tambahan pula dalam keadaan pandemik Covid-19, kita dapat melihat banyak syarikat ditutup, pengangguran pekerjaan termasuk di kalangan mahasiswa meningkat maka kita harus memperkasakan bidang keusahawanan dalam mendepani cabaran ini,” katanya yang menerima kenaikan pangkat dari Prof. Madya ke Profesor VK7.

Print