OYAGSB MULA OPERASI PERPINDAHAN KE KUALA LUMPUR

 GAMBAR PINDAH OYAGSB

UUM ONLINE: Mulai 3 Januari ini, Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) akan memulakan operasi ke lokasi baharu di Menara 2, Jalan Raja Muda Abd Aziz, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar berkata, bagi melancarkan operasi perpindahan OYAGSB itu, semua staf terlibat telah memulakan kerja-kerja perpindahan fail penting dan juga aset OYAGSB melalui tiga fasa.

“Fasa pertama yang melibatkan aset-aset penting telah dilaksanakan pada 6 Disember lalu, diikuti fasa kedua pada 29 Disember yang melibatkan proses pemindahan rekod fail yang berkaitan pentadbiran dan akademik serta pemindahan aset OYAGSB.

“Fasa ketiga dijangka akan dilakukan pada Januari 2021 yang akan melibatkan proses akhir perpindahan aset dan proses perpindahan ini diketuai oleh Akauntan OYAGSB, Noraidani Ismail dengan dibantu oleh staf pusat pengajian ini,” katanya.

Prof. Dr. Hassan berkata, perpindahan operasi utama OYAGSB dari Sintok ke Kuala Lumpur adalah seiring dengan tujuan penjenamaan semula OYAGSB ke arah Top Business School yang menekankan penyampaian perkhidmatan cemerlang dan menjadi sebuah sekolah perniagaan yang lebih dinamik dan progresif.

Menurutnya, buat masa ini, lebih 85 peratus pelajar OYAGSB berada di Kuala Lumpur dan statistik ini menunjukkan bahawa perpindahan ke sana adalah satu strategi dan langkah yang munasabah.

Katanya, lokasi di Kuala Lumpur juga akan memudahkan OYAGSB untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelajar dan pelanggannya.

“Kejayaan OYAGSB disenaraikan dalam QS World University Rankings (QSWUR): Global MBA 2021 dengan berada di kedudukan ke-201+ pada peringkat dunia dan tangga ke-27 terbaik di Asia adalah sebagai titik permulaan untuk terus bergerak ke hadapan dalam merealisasikan misi berstatus Triple Crown serta Top Business School,” katanya.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, boleh hubungi talian 04-928 7192 / 7194 / 7130 / 7113 atau 011-11293060, selain mendapatkan maklumat melalui pautan http://www.oyagsb.uum.edu.my

Print