DATO’ DR. ZULKAPLI TERUJA DENGAN FASILITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI UUMKL DAN OYAGSB

DATO DR. ZULKAPLI TERUJA DENGAN FASILITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI UUMKL DAN OYAGSB

UUM ONLINE: Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Dato’ Dr. Zulkapli Mohamed telah mengadakan kunjungan ke UUM Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) dan Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), baru-baru ini.

Kehadiran delegasi JPA disambut oleh Dekan Hal Ehwal Akademik UUMKL, Prof. Madya Dr. Norlena Hasnan dan Timbalan Dekan OYAGSB, Prof. Madya Dr. Sabariah Yaacob serta pegawai-pegawai kanan UUMKL dan OYAGSB.

Dato’ Dr. Zulkapli berkata, lawatan itu bertujuan melihat kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang disediakan UUMKL terutamanya bagi menampung keperluan pembelajaran oleh calon penerima tajaan dari JPA.

“JPA berhasrat untuk bekerjasama dengan UUMKL terutamanya bagi menghantar staf JPA yang terdiri dari Pegawai Tadbir dan Diplomatik untuk menyambung pengajian di UUMKL,” katanya yang teruja melihat kemudahan pembelajaran dan pengajaran yang terdapat di UUMKL dan OYAGSB.

Sementara itu, Yang Menjalankan Tugas Provos UUMKL, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar merangkap Dekan OYAGSB mengalu-alukan kehadiran rombongan dari JPA melalui Webex memandangkan beliau berada di Sintok.

Menurutnya, pihaknya telah bersedia menerima pelajar tajaan JPA, malah telah bersedia dari segi silibus pengajian dan kemudahan logistik yang ada.

Di UUMKL dan OYAGSB terdapat 24 bilik yang mampu memuatkan pelajar 40 hingga 80 orang, dewan peperiksaan berkapasiti 200 orang, perpustakaan dan makmal komputer, selain kemudahan bilik mesyuarat, perbincangan dan surau yang sedia untuk digunakan.

Print