OYAGSB PROMOSI PROGRAM MBA SEMPENA VIRTUAL OPEN DAY

 biztalk

 

UUM ONLINE: Bagi memastikan program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) diangkat ke peringkat yang lebih tinggi, inisiatif penjenamaan semula program berkenaan telah dilakukan sempena OYAGSB Virtual Open Day, baru-baru ini.

Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar berkata, penjenamaan ini dilakukan sejajar dengan hasrat yang dinyatakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani semasa lawatan ke pusat pengajian berkenaan di Kuala Lumpur awal tahun lalu yang mahukan pusat pengajian ini meningkatkan usaha dalam memastikan akreditasi EQUIS dapat digenggam, sekali gus membantu UUM mencapai hasrat sebagai universiti berstatus ‘Triple Crown’.

Katanya, memiliki status ‘Triple Crown’ adalah sangat penting untuk membawa nama OYAGSB ke peringkat yang lebih tinggi setanding dengan universiti lain di peringkat antarabangsa, di samping merealisasikan misi untuk mencapai Top Business School menjelang 2025.

OYAGSB merupakan satu-satunya sekolah perniagaan (business school) di Malaysia yang disenaraikan di dalam QS Global MBA Ranking.

Penjenamaan semula program MBA itu disempurnakan Ahli Lembaga Penasihat OYAGSB, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali yang dibuat secara maya menerusi Webex dan platform Facebook Live.

Program MBA di OYAGSB yang ditawarkan sejak 1995 mempunyai lebih 6,000 alumni sehingga 2020 bukan sahaja dari Malaysia, malah luar negara seperti China, Somalia, Algeria, Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Arab Saudi.

Program berkenaan telah melalui pelbagai proses penambahbaikan dan menerima pengiktrafan daripada Chartered Management Institute (CMI) serta menerima akreditasi penuh dari AMBA dan AACSB. Selain itu, QS Global MBA Ranking 2021 turut menyenaraikan program MBA OYAGSB di tangga pertama di Malaysia, ke-27 di Asia dan di tangga 201+ dunia.

Mengulas lanjut tentang OYAGSB Virtual Open Day, Prof. Dr. Hassan berkata, program itu merupakan inisiatif bagi membolehkan orang ramai mengenali OYAGSB dengan lebih dekat dan memperkenalkan program yang ditawarkan, di samping menarik lebih ramai bakal pelajar berpotensi untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di OYAGSB yang terletak di Kuala Lumpur.

Melalui program sebegini, menurutnya, mereka yang berminat boleh melihat bahawa pelajar yang dihasilkan oleh OYAGSB adalah berbeza dari yang lain melalui pengaplikasian kaedah ‘experiential learning’ mengikut matlamat OYAGSB iaitu ‘distinctively different’.

Antara aktiviti yang diadakan pada OYAGSB Virtual Open Day ialah sesi Biztalk bersama Prof. Dr. Noor Azlan yang menyampaikan perkongsian bertajuk ‘Manoeuvring the Covid-19 Pandemic’s Tunnel and Preparing Ahead’; sesi Academic Program Previews bagi berkongsi maklumat terperinci untuk melanjutkan pengajian di OYAGSB yang disampaikan Pengarah Program MBA, MBM, DBA, DMgt dan PhD serta sesi Becoming Our Students – Admission Process yang memberi maklumat terperinci berkaitan proses permohonan dan maklumat berkaitan sebelum menjadi pelajar OYAGSB.

Program ini turut disertai Timbalan Dekan OYAGSB, Prof. Madya Dr. Sabariah Yaakub, Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki dan semua Resident Faculty OYAGSB.

Print