OYAGSB CSR KEBUN KOMUNITI @ SEKSYEN 3, PETALING JAYA

News image005

Petaling Jaya - Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) terus menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang diketengahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau UN dengan sentiasa menerapkan nilai-nilai etika, kemampanan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada pelajar.
Jelas sekali, usaha ini telah diterap masuk dalam dalam silibus kursus Ethics, CSR and Sustainability bagi program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di OYAGSB dengan penganjuran program khidmat sosial korporat (CSR) di Kebun Komuniti, Seksyen 3 dengan kerjasama penduduk setempat.

Ketua projek, Muhammad Khairul Mohd Dilif berkata, berkat usaha dan kerjasama pelajar dan OYAGSB, lebih 17 tapak semaian berjaya diusahakan dan ditanam dengan pelbagai sayuran seperti sawi, kangkong dan bayam.

Selain itu, menurutnya, pelajar-pelajar juga telah membersihkan kebun, mengutip sampah dan menyiram tanaman tersebut.

"Kami berterima kasih kepada OYAGSB dan pihak Kebun Komuniti atas kerjasama menjayakan program ini dalam usaha kelestarian aktiviti komuniti yang bertema ‘GO GREEN’.

"Kami juga telah bertukar-tukar pandangan dan idea untuk memajukan lagi Kebun Komuniti ini. Program sebegini diharapkan dapat diteruskan demi memastikan persekitaran yang lebih mampan," katanya.

Pada program itu, pelajar turut diberikan taklimat oleh Presiden Kebun Komuniti sebelum aktiviti dimulakan di mana beliau menerangkan bagaimana pada awalnya, penduduk di situ mengusahakan kawasan rumah terbiar untuk mengelakkan pembiakan nyamuk aedes, namun akhirnya menjadi satu aktiviti yang boleh mengeratkan hubungan antara mereka. Malah, hasil dari tanaman kebun itu juga dijual semula kepada penduduk dengan harga yang lebih rendah.

Kemudian, aktiviti bermula dengan penerangan oleh AJK Kebun Komuniti, Zaidah Mohamad berkenaan cara-cara menghasilkan tanah kompos.

Pelajar dan staf OYAGSB telah dibahagikan kepada kumpulan untuk satu tapak semaian bagi melakukan sendiri proses penghasilan tanah kompos. seterusnya diajar cara untuk melakukan semaian yang betul.

Print