All News

‘OYAGSB CAREER & SKILLS TALK’ TEROKA ISU KEPIMPINAN UNTUK KESEJAHTERAAN MENTAL PEKERJA MALAYSIA-UK

image002 1

UUM ONLINE: Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) telah mengadakan ‘OYAGSB Career & Skills Talk’ bertajuk Leading for Employee Mental Wellbeing: Malaysia VS the UK bersama Dr. Nazahah Abd Rahi, baru-baru ini bagi membincangkan perbezaan Malaysia dan United Kingdom (UK) menangani kesihatan mental dan kesejahteraan di tempat kerja.
Beliau yang juga merupakan pensyarah kanan OYAGSB turut berkongsi pengalaman serta hasil kajian ketika menjalani pengajian pasca-doktoral di London School of Economics, UK yang merupakan salah satu daripada 50 universiti terbaik dunia.
Menurut kajian yang dijalankan oleh AIA Vitality pada tahun 2017, organisasi di Malaysia mengalami kehilangan produktiviti selama 67 hari setiap tahun bagi setiap pekerja dan kajian yang sama pada tahun 2019 merekodkan kadar kehilangan produktiviti sebanyak 73.3 hari per pekerja.
Dr. Nazahah berkata, kepimpinan merupakan kaedah unggul untuk menangani kadar penurunan produktiviti di Malaysia yang menunjukkan statistik membimbangkan, justeru, beliau mengkaji amalan, norma, dasar dan rangka kerja berhubung dengan kesejahteraan mental pekerja antara Malaysia, negara berpendapatan sederhana dan UK yang berpendapatan tinggi.
Pada webinar ini turut dibentangkan perbezaan silang budaya antara Malaysia dan UK dari aspek jarak kuasa, individualisme dan kolektivisme, toleransi dalam masyarakat, kecerdasan emosi, adat dan agama serta status sosial.
Dr. Nazahah menegaskan, Malaysia masih ketinggalan berbanding UK dalam isu kepimpinan untuk kesejahteraan mental pekerja kerana stigma ‘reserved attitude’ yang masih menebal.
Selain itu, antara cabaran terbesar adalah negara masih kekurangan program latihan formal yang tertumpu kepada kesihatan mental dan kesejahteraan.
Sesi ini yang bersiaran menerusi Webex dan Facebook turut disertai dengan interaksi bersama para peserta menerusi sesi soal jawab.