All News

OYAGSB TEMBUSI PASARAN LABUAN

image002 3

UUM ONLINE: Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) melebarkan sayap ke Labuan dengan mengadakan latihan korporat secara semuka selepas pasca pandemik Covid-19 kepada 100 pegawai amanah di bawah Persatuan Syarikat-Syarikat Amanah Labuan atau Association of Labuan Trust Companies (ALTC), baru-baru ini.

Seminar bertajuk ‘Corporate Governance for Directors and Corporate Secretarial’ itu memfokuskan kepada urus tadbir, fungsi dan tanggungjawab pengarah dan setiausaha syarikat amanah di bawah syarikat-syarikat amanah yang telah mendaftar di bawah ALTC.

Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar berkata, pasaran kewangan dan perniagaan Labuan yang besar ini dilihat sebagai satu peluang yang baik kepada OYAGSB untuk memasarkan dan mengembangkan latihan korporat dan program akademik seperti Doktor Falsafah (PhD), Doktor Falsafah Pengurusan (D.Mgmt), Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA), Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBM).

Menurutnya, ALTC ingin bekerjasama dengan OYAGSB bagi mengadakan aktiviti-aktiviti latihan berterusan kepada ahli-ahlinya dan akan berbincang lanjut bagi menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi merelisasikan hasrat ini.

Sementara itu, Pengerusi ALTC, Datuk Chin Chee Kee berkata, Labuan IBFC melaksanakan standard dan norma antarabangsa seperti undang-undang Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Hakisan Asas dan Peralihan Keuntungan (BEPS), Standard Pelaporan Am (CRS) dan keperluan bahan ekonomi.

Dengan pelaksanaan itu, menurutnya, ALTC berharap dapat memberi tanggapan yang baik kepada pelabur dan peniaga untuk membina empayar perniagaan di Labuan.

“Kesungguhan ALTC dalam membangunkan Labuan dapat dilihat dengan peningkatan penubuhan syarikat Amanah sebanyak 61 syarikat yang beroperasi di Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBFC),” ujarnya.

ALTC telah ditubuhkan pada 8 Julai 1994 dibawah Societies Act, 1996 yang menggabungkan semua syarikat amanah yang berdaftar di bawah Labuan Financial Services and Securities Act, 2010. Penubuhan ALTC adalah untuk mempromosikan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir (offshore) Antarabangsa dan juga memajukan dan melindungi kepentingan bersama ahli-ahlinya.