All News

OYAGSB TEROKA BIDANG ‘OFFSHORE’ DENGAN LABUAN FSA

image005 1

UUM ONLINE: Kadar cukai yang rendah menjadikan Labuan sebagai hab kewangan luar pesisir (offshore) pilihan banyak pelabur mahupun peniaga untuk membuka perniagaan di situ.

Bagi memantau dan memastikan kelancaran pernigaan di Labuan, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) telah ditubuhkan pada 15 Februari 1996 dengan objektif sebagai badan pengawas tunggal untuk mempromosikan dan mengembangkan Labuan sebagai Pusat Kewangan dan Perniagaan Antarabangsa (IBFC).

Kesempatan itu juga, OYAGSB melalui Corporate Executive Education Development Unit (CEED) telah menyatakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan Labuan FSA dalam usaha meluaskan jaringan kerjasama industri dan mempromosikan program latihan korporat bukan sahaja di sekitar Lembah Klang tetapi juga di luar semenanjung Malaysia.

Pasca pandemik Covid-19 telah membuka peluang kepada OYAGSB untuk merealisasikan pelan strategik itu melalui perbincangan awal bersama Labuan FSA, baru-baru ini.

Perbincangan diketuai Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar itu disertai Pengarah Pengurusan Korporat Labuan FSA, Wan Ahmad Sanusi Mahmood bersama pegawai-pegawai kanan Labuan FSA dan OYAGSB.

Pada perbincangan itu, OYAGSB telah mengusulkan beberapa program kerjasama dengan menawarkan perkhidmatan latihan korporat, penyelidikan berkaitan ‘offshore’ dan program akademik seperti Doktor Falsafah Pengurusan (D.Mgmt), Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) kepada staf Labuan FSA yang berminat.

Hassan berkata, beliau melihat peluang ini sebagai satu titik permulaan bagi meluaskan keterlihatan OYAGSB sebagai salah satu pusat pengajian perniagaan siswazah terbaik di Malaysia dan memperkenalkan CEED sebagai penyedia latihan dalam bidang pengurusan dan perniagaan.

“Saya berharap program kerjasama ini dapat direalisasikan bagi menjadikan OYAGSB sebagai pusat rujukan dalam bidang pengurusan ‘offshore’ pada masa hadapan,” uajrnya.

Sementara itu, Labuan FSA juga dalam perancancangan untuk menjalinkan kerjasama dengan institusi akademik bagi membangunkan modal insan dan kajian berkaitan ‘offshore’.